THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Monday, April 13, 2009

Sesudu Bubur Untuk Si Ibu

Malam itu saya lihat ibu membuka penutup tin yang diletakkan di penjuru rumah. Ibu menggoncang-goncang dan meraup butiran beras di dalam tin itu. Hanya ada dua tin susu sahaja yang masih berbaki. Beras sudah hampir habis rupanya. Pada siapa ibu hendak mengadu? Ayah? Saya tahu, ibu tidak mahu memikirkan perkara itu.

"Ibu mengerling ke arah kami yang masih belum makan. Saya lihat ibu ambil sedikit beras dari dalam tin susu itu, kemudian masukkannya ke dalam periuk. Air dituang sehingga penuh. Setelah hampir setengah jam, ibu masukkan ke dalam sepuluh buah pinggan yang sudah tersedia."

"Bubur nasi itu berasap. Seorang demi seorang anaknya dipanggil sehingga adik kami yang paling bongsu. Makanlah kami sepuluh beradik ini sehingga pinggan licin bersih. Malam itu kami tidur dengan nyenyaknya"

"Pagi, kami bangun untuk bersarapan dan saya perhatikan, ibu menyalakan api untuk memasak. Ibu mengambil baki beras di dalam tin susu. Sekali lagi ibu membuat bubur yang cair."

"Seperti semalam juga, kami menghirup bubur sehingga habis. Bubur itu, walaupun cair, saya rasakan begitu enak sekali. Kami mengadu tidak cukup tetapi ibu menyibukkan dirinya membasuh pinggan dan periuk. Ibu seperti tidak mahu melayan permintaan kami."

"Tengah hari itu pun begitu. Bubur nasi yang cair untuk kami sepuluh beradik. Setiap kali waktu makan saya perhatikan ibu pasti menadah tangan bersyukur anak-anaknya tidak kebuluran. Mungkin ibu bersyukur hari ini kami dapat menyambung nyawa untuk sehari dua lagi. Mungkin juga ibu bersyukur kerana, walaupun hidup miskin dan susah, tetapi kami tidak meminta-minta. Kemudian, saya lihat ibu berpaling ke belakang."

"Masuk hari ketiga, kakak kami yang sulung memandang ke arah ibu yang sedang duduk membelakangi kami adik-beradik. Saya tidak menyangka, seperti saya, kakak juga perasan ibu akan membelakangkan kami semasa menikmati bubur cairnya. Yang kedengaran hanya bunyi sudu bersentuhan dengan mangkuk."

"Saya tidak tahu kenapa. Adakah ibu mahu makan sendirian dan tidak mahu diganggu? Atau, ibu tidak sampai hati untuk menatap wajah kami yang sedang kelaparan?"

"Perlahan-lahan kakak mengengsotkan badannya mendekati ibu. Alangkah sedihnya kakak apabila melihat rupa-rupanya ibu hanya melaga-lagakan sudu di dalam mangkuknya yang sebenarnya kosong. Tiada sebutir bubur nasi pun di dalam mangkuk ibunya!"

"Kakak segera berbisik kepada kami yang duduk di sekelilingnya. Adik-adik yang lain turut berbisik cerita yang sama sehinggalah kepada yang bongsu. Kemudian kami seramai sepuluh beradik sepakat menghadiahkan sesudu bubur nasi untuk ibu."

"Kami sedih. Kami tahu ibu sedang kelaparan, tetapi ibu tidak mahu memberitahu kami. Ibu berkorban untuk kami, ibu sengaja melaga-lagakan sudunya dengan mangkuk bagi membohongi kami seolah-olah ibu juga sedang menikmati bubur nasi yang dimasaknya"

"Setelah semua menghadiahkan sesudu bubur, saya melihat kakak mengengsot mendekati ibu. Kemudian kakak menghulurkan semangkuk bubur cair yang kami kongsi bersama tadi."

"Makanlah mak." Kata kakak, perlahan.

"Ibu berpaling memandang kakak. Tanpa menyentuh mangkuk yang dihulurkan, ibu bingkas bangun, kemudian terus berlari ke bilik dan menutup pintu. Kami hanya mampu melihat titisan-titisan air mata ibu berciciran di lantai sehingga ke pintu bilik..."

Saya terus mematikan radio. Saya tidak sanggup mendengarnya lagi. Dada saya sebak, mata saya digenangi air. Cerita seorang pendengar kepada stesen radio berkenaan sempena Hari Ibu pada tahun lalu itu terlalu sedih. Dan, saya masih mampu mengingatinya walaupun setahun sudah berlalu...

Mastika, Mei 2009.

3 comments:

smallprincess said...

sedihla kisah ni, aku xblh kisah mcm ni, ingat ngan family di kampung tu..lebih2 pada ibu dan ayah tersayang..ma' eyang, anakmu merinduimu, ampunkan dosaku pada mu..

~hikari~ said...

sedih kan..huhu..bersyukur la apa yg kita dpt hari ni dan akan dtng...so,sementara kita masih mampu ni jdilah kita golongan yg hidup untuk memberi dgn sebanyak-banyaknya dan bukan untuk menerima dgn sebanyak-banyaknya...=)

Jihad said...

A'ah, sgt sedih. Satu kisah ni je boleh kita kaitkan dengan banyak pengajaran. Tentang ibu, keluarga, erti syukur, dan erti hidup untuk memberi sebanyak-banyaknya. Nanti kalau ada yang best2 lagi, kak yan letak kat sini ye. Insya Allah.